Perjalanan
Aku tidak menghiraukan sangat kerenah kereta, lori dan bas. Sudah bertahun-tahun, begitulah keadaannya. Yang penting mereka tidak menghalang pejalanan ku. Aku ada tujuan, seperti juga mereka.
Sebaik sahaja aku memasuki lebuhraya, aku berasa sedikit lega. Dada lebuhraya ini luas. Tiap pengguna boleh memilih untuk meneraju perjalanan mereka mengikut rasa hati. Aku, selesa dengan angka 65.
Pagi ini, aku lebih gembira. Sinar mentari dari arah timur nampak ceria. Langit membiru dengan tompokan awan seperti kapas-kapas yang terawang-awang. Aku dapat rasakan, suasana ini akan berpanjangan. Aku akur, masa hadapan bukan ilmu yang aku fahami, tetapi pengalaman menyusur perjalanan kerap menjadi sumber utama dalam mentafsir kemungkinan saat-saat mendatang.
Angka 65 terus menjadi mainan ku. Enjin Virago tua ku berdentum-dentum santai pada kelajuan ini. Aku amat mengerti, pada kelajuan ini aku boleh meredah perjalan sehari-harian tanpa risau dia akan mogok atau merajuk.
Seperti biasa, aku sentiasa gembira di dada lebuhraya ini. Dia sentiasa setia menanti ketibaanku saban hari. Sambutannya tidak pernah hambar dan dia sentiasa menjanjikan aku destinasi. Walaupun hitam dan kasar, dijiwanya ada kemuliaan. Apabila aku tersasar jauh dari destinasiku, dia sentiasa menyeruku. Kembalilah!
Sampai di persimpangan, aku terus membelok ke kiri. Perjalanan kau berakhir di sini pagi ini. Lewat senja nanti aku akan menyusur leburaya ini lagi, untuk pulang!
No comments:
Post a Comment