Wednesday, January 12, 2011

Mata lalat, mata lebah!

Mata lalat, mata lebah!

Semalam, aku sempat mendengar ceramah pendek diradio. Aku tidak pasti tajuk sebenar ceramah itu, tetapi yang pasti penceramah menghuraikan konsep pandangan mata lalat dan mata lebah.

Mata lalat sentiasa mencari sampah, najis dan kotoran. Tidak kira di mana dia berada, itulah pencariannya. Walau diletakkan di taman bunga sekalipun, mata lalat tetap akan mencari sampah dan najis. Pendek kata, itulah sudut pandangannya.

Mata lebah pula sentiasa mencari bunga dan madu. Tidak kira di mana dia berada, itulah pencariannya. Walau diletakkna di kandang lembu sekalipun, mata lebah akan tetap mencari bunga dan madu. Mungkin, itu sahajalah sudut pandangannya.

Bagaimana pula dengan kita? Adakah kita akan mengadaptasi pandangan mata lalat atau pandangan mata lebah?

Jika kita bermata lalat, sudah pasti kita hanya akan nampak yang buruk sahaja. Walau sebesar mana sekali pun kebaikan disekitar kita, kita hanya mengungkit-ungkit keburukan-keburukannya. Kita tidak akan dapat menilai persekitaran kita secara positif.

Jika kita bermata lebah, aku yakin kita akan lebih bersyukur kerana dapat menghargai nikmat dari apa yang ada pada kita. Walaupun terdapat kepayahan dalam hidup, kita akan terus mara dengan penuh keyakinan dan harapan.

Secara umumnya kita dapati, jika kita bermata lebah, kemungkinan besar kita akan berada dalam keadaan yang lebih baik dan selesa. Jiwa kita juga mungkin akan menjadi lebih tenang dan mantap.

Tetapi memadaikah dengan hanya bermata lebah?
Tidakkah perlu bagi kita berlensa digital tiga dimensi?
Bukankah ada kalanya kita perlu ‘zoom in’ untuk mengenalpasti dengan lebih terperinci?
Bukankan ada kalanya kita perlu ‘zoom out’ untuk mendapatkan pandangan yang lebih besar dan luas (the big picture)?
Bukankah ada kalanya kita perlukan ‘ariel view’ untuk melihat dari berbagai sudut yang boleh meghasilkan penilaian yang jauh berbeza?

Dan ada masanya kita perlu melengkapkan diri dengan kaca mata 3 dimensi kerana tanpanya kita tidak akan dapat melihat dengan impak maksima!

No comments: