Friday, January 14, 2011

Ikhlas

Ikhlas

Aku memberi lampu isyarat ke kiri sambil memperlahankan motosikalku. Sebaik sahaja terhenti, aku menupangnya dengan kemas dan membuka topi keledar. Tidak jauh dari aku, kelihatan seorang lelaki  terkial-kial di sebelah sebuah kereta mewah.

Dia sedang cuba membuka sekeru roda kereta yang telah pancit tayarnya tetapi tidak berjaya. Bajunya dibasahi peluh dan dia kelihatan lelah. Aku menawarkan diri untuk mencuba. Setelah berhempas pulas, barulah kelima-lima sekeru itu dapat dibuka.

Bila aku bangun, aku dapati lelaki itu sedang berdiri berhampiran pengadang jalan. Di mengesat-ngesat peluhnya dengan sehelai sapu tangan. Dia kelihatan amat tertekan. Bila aku menghampirinya, dia menudingkan jari ke arah bonet kereta. Walaupun tanpa sebarang kata-kata, aku faham maksudnya.

Aku terpaksa mengeluarkan beberapa set kayu golf dan beberapa pasang kasut sebelum dapat membuka penutup ruang tayar simpanan. Aku mengeluarkan tayar simpanan tersebut dan terus memasangkannya dengan kemas. Selepas itu, tayar yang pancit itu ku simpan pula diruang tayar simpanan. Aku letakkan semula barangan yang telah dikeluarkan tadi dengan kemas seperti sebelum ia dialihkan.

Aku menoleh kebelakang untuk meberitahu lelaki tersebut yang semuanya telah selesai aku lakukan. Tetapi lelaki itu tidak kelihatan. Rupa-rupanya dia sudah pun berada di dalam kereta. Enjin kereta itu dihidupkan dan lelaki berkereta mewah itu terus berlalu. Dari pecutan tangkas yang dilakukannya, aku dapat merasakan dia perlu bergegas ke suatu destinasi, mungkin untuk menghadiri satu temujanji.

Aku menyarongkan jeket dan memakai helmet. Aku berasa puas. Sedikit sebanyak bantuan ikhlasku mungkin telah dapat membantu lelaki tersebut. Aku berdoa agar apa jua yang dikejarnya, akan diperolehi dengan mudah.

No comments: