Sunday, January 30, 2011

Hujan

Mereka terasa terancam dengannya kerana jalan raya akan jam, mereka akan kesejukan, pakaian mereka juga boleh basah. Aktiviti harian mereka juga akan terganggu. Mereka sukar untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah. Mereka juga terpaksa berlari-lari anak dari tempat meletak kereta menuju ke pejabat-pejabat mereka.

Jemuran yang hampir kering yang mereka tinggalkan mungkin akan basah kembali. Rumah mereka turut akan menjadi mangsa dek tempias andainya mereka terlupa menutup pintu dan tingkap. Mereka akan sakit-sakit kepala apabila terkena hujan dalam perjalanan mereka mengejar keperluan dunia.

Ada pula yang melupakan niat mereka untuk berjemaah di surau dan masjid. Lebih dahsyat lagi, ada yang tidak menghiraukan panggilan azan untuk berjemaah solat Jumaat.

Semua itu membuatkan mereka berungut-sungut dan membebel-bebel. Semua itu juga membuatkan mereka menjadi marah dan menyumpah-nyumpah. Malah, ada yang mempertikaikan Nya dan melaung-laung mengatakan ianya suatu yang tidak adil dan hanya menyusahkan mereka.

Benarkah? Tidakkah hujan itu satu rahmat dari Nya? Tidakkan hujan itu menghidupkan muka bumi ini? Tidakkah hujan itu yang menjadi sumber minuman yang mereka teguk saban hari? Tidakkah hujan itu yang telah menghindarkan mereka dari kekontangan? Tidakkah hujan itu yang meredakan kepanasan dek panahan matahari? Tidakkah hujan itu yang melahirkan pelangi yang berwarna-warni, yang amat indah?
Renungkanlah, apa erti hujan itu?

......................... sebelum kita merungut-rungut, membebel-bebel, marah-marah.........

No comments: