Wednesday, July 17, 2013

Sunyi

 Sunyi
Ada kalanya, aku bersama kawan-kawan. Kami bercerita, kami berbincang dan kami bertukar-tukar pendapat. Kami bergelak ketawa mendengar coloteh dan kisah-kisah kehidupan kami.

Ada kalanya, aku bersama rakan sepejabat. Kami bekerja, merancang dan menyelesaikan permasalahan untuk kesinambungan syarikat kami. Kami lakukannya dengan ceria kerana kami tahu, suasana ceria adalah pemangkin prestasi kami dan ubat terhadap tekanan tanggungjawab yang kami pikul.

Ada kalanya, aku bersama keluarga. Bersama isteri dan anak-anak. Kami bersama-sama bantu-membantu melakukan kerja-kerja yang menjadi tanggungjawab kami sekeluarga. Kemudian kami duduk bersama, menjamah sarapan, makan tengahari dan makan malam.

Namun, aku sunyi. Jiwaku rasa tiada berteman. Aku seolah-olah seorang sahaja mengharungi hidup ini. Kesunyian ini, kadang-kadang menekan sehingga terasa sesak dadaku.

Adakah itu hakikat kehidupan? Atau adakah itu satu kepincangan dalam hidupku? Andainya tiada terjawab persoalan ini, maka bertambah sunyilah aku!

Thursday, May 24, 2012

PUJANGGA BUAT GURU

(Buat isteri saya dan guru-guru di seluruh negara!)

Guru dengarkan pujangga
Kami anak-anak muda
Telah kau didik telah kau bina
Jadi anak emas bangsa

Bila kami tiba diwaktu pagi
Kau sambut dengan pekerti
Kami kau didik kami kau bela
Agar berjiwa besar

Bila kami mengeloh di tengahari
Kau terus datang hampiri
Katamu sabarlah aduhai insan
Dunia memang satu cabaran

Guru dengarkan pujangga
Kami anak-anak muda
Telah kau didik telah kau bina
Jadi anak emas bangsa

Bila matahari labuhkan diri
Kau masih teguh berdiri
Memberi tunjuk memberi ajar
Agar kami terus sedar

Di penghujung malam disudut kelam
Kau mohon pada Ilahi
Kesejahteraan buat kami
Tanpa sedikit rasa iri

Guru dengarkan pujangga
Kami anak-anak muda
Telah kau didik telah kau bina
Jadi anak emas bangsa

Wahai guru kami, kami berdoa
Agar kau diberkatiNya
Tiada emas pembalas jasa
Buat hiasan dunia

Wahai guru kami, kami berbangga
Apa yang telah kau kurnia
Teruskanlah usaha berjasa
Kerana engkaulah emas permata

Guru dengarkan pujangga
Kami anak-anak muda
Telah kau didik telah kau bina
Jadi anak emas bangsa

Saturday, February 25, 2012

If I were the CEO of this company……


If I were the CEO of this company………………….

Aku terdiam, sambil tanganku mencubit pipi. Bukan apa, aku kena pastikan ianya bukan hanya sebuah mimpi. Keadaan dan kedudukanku sebelum ini tidak memberi banyak peluang untuk aku memanjat tangga koperat hingga menjadi seorang CEO.

Walau bagaimanapun, aku bersyukur ke hadrat Illahi. Ini rezeki kurniaanNya, aku tidak akan mempertikaikannya kerana aku tidak mahu tergolong kedalam golongan yang kufur nikmat. Aku juga akur, akan tanggungjawab besar yang datang bersama jawatan sebesar ini.

Sebagai langkah pertama, aku perlu membuat tindakan ini dengan segera. Lupuskan kereta BMW 5 series itu dan keluarkan 3 Purchase Order baru; satu untuk motosikal Harley Davidson Dyna Glide, satu untuk kereta Mini Cooper S dan satu lagi untuk kamera Canon 60D.
Aku teringat sebuah iklan yang berbunyi ‘A company car must not be a CAR……..’. Aku yakin, Harley Davidson adalah pilihan yang amat tepat. Aku perlu tonjolkan identiti yang tersendiri, idea yang tersendiri, juga gaya yang tersendiri. Sejarah lama syarikat ini yang tidak membawa manafaat perlu aku ketepikan. Aku perlu mencipta sejarah baru, sejarah aku sendiri, sejarah yang lebih baik. Tetapi, aku perlu lakukan semua itu dengan sepenuh hati, penuh minat dan penuh kegembiraan.

Namun aku faham, ada kalanya kereta adalah lebih sesuai. Manalah tahu, kalau-kalau hari hujan, nanti basah pula dokumen-dokumen yang perluku bawa bersama. Oleh kerana CEO syarikat hanya seorang sahaja, tiada sebarang keperluan untuk kereta yang terlalu besar. Aku memilih Mini Cooper S. Walaupun ia sebuah kereta yang agak sederhana, ia dilengkapi dengan enjin yang amat berkuasa yang boleh meninggalkan BMW 5 series tinggal jauh dibelakang, dilampu-lampu isyarat di ibu negara.

Hidup aku bukan untuk bekerja sahaja. Disamping menunggang Harley Davidson dan memandu Mini Cooper S, aku perlu mengasah minda dan berkarya. Ada perkara-perkara tertentu, perlu diabadikan dalam galeri syarikat ini untuk rujukan dan panduan. Dari tingkap pejabat ku, ada matahari terbenam,  ada deretan kenderaan dan bangunan, ada hamparan saujana mata memandang dan ada sang rembulan untukku rakam. Anak-anakku yang sedang membesar, isteriku yang semakin matang, si Flubber dan Bella, semuanya perluku abadikan. Aku akur, mindaku tak pernah luput mengekori perkembangan persekitaran tetapi bila sudah dijamah usia, aku mungkin lupa. Aku perlu si Canon 60D itu. Ia merkam peristiwa, ia membekukan perjalan masa.

Wah, banyak betul perancangan yang aku buat untuk diriku sendiri! Tidak lama lagi, aku akan menjadi CEO syarikat yang menunggang Harley Davidson, memandu Mini Cooper S serta berkarya bersama Canon 60D. Aku dapat rasakan yang aku akan dapat memikul tanggungjawab ini dengan sepenuh hati dan dengan jiwa yang ceria. Tetapi, cukupkah sekadar mengecap kepuasan untuk diriku sediri? Bolehkah aku memberikan impak yang sama kepada seluruh warga syarikat ini? Adakah aku perlu memberikan  “Harley Davidson”,  “Mini Cooper S” dan “Canon 60D” kepada mereka juga?

Sudah semestinya! Aku rasa, mereka, seperti aku juga. Spesis yang sama, maka keperluan asasnya juga adalah sama. Aku kita tidak akan menafikannya.

Aku rasa, untuk mencapai matlamat syarikat ini, aku perlu ciptakan “Harley Davidson” untuk mereka. Harley Davidson adalah adalah jenama sebuah motosikal. Tetapi ia bukanlah sebuah motosikal biasa. Ia telah berjaya menampilkan identitinya yang tersendiri. Pemilik-pemiliknya pula adalah golongan yang mementingkan nilai-nilai sebuah motosikal. Mereka memilikinya dengan rasa bangga dan berbesar hati. Tetapi yang lebih penting, Harley Davidson telah berjaya melakukan tugas asasnya dengan sempurna, iaitu membawa pemilik-pemiliknya ke destinasi-destinasi yang dihajati dengan jaminan, yang ianya tidak akan menimbulkan banyak masalah.

Mini Cooper S pula adalah sebuah kereta yang namanya telah lama meniti dibibir manusia. Kemajuan teknologi telah melahirkannya semula dengan ciri-ciri asal dan ditambah dengan beberapa kemajuan dari sudut persembahan dan reka bentuk. Dalam kesederhanaannya, ia membawa imej yang bersahaja namun jika perlu dia boleh menunjukkan kepantasannya. Pemilik-pemiliknya adalah golongan yang menjadikan nostalgia sebagai salah satu nilai yang perlu mereka kekalkan disamping menerima pembaharuan-pembaharuan untuk mengekalkan daya saing mereka . Mini Cooper S melambangkan kesederhanaan namun sentiasa bersedia untuk mengharungi cabaran.

Canon 60D pula, adalah kamera yang telah dibekalkan dengan ciri-ciri dan teknologi terkini. Ia berupaya merakam imej yang amat detail dan bermutu tinggi. Tetapi ia memerlukan pemilik yang kreativiti untuk menghasilkan imej yang bermutu.Hasil dari kombinasi pemilik dan kamera ini tidak sahaja merupakan sebuah gambar atau imej, tetapi ia sering dikatakan sebagai sebuah karya.  Karya jurugambar sering dikaitkan dengan keupayaan untuk memerhati, mencipta dan melahirkannya. Canon 60D adalah kesinambungan idea dan komposisi yang dicipta dari apa yang kita ada disekeliling kita.

Namun aku sedar, bukan semua nilia-nilai yang berkaitan denga Harley Davidson, Mini Cooper S dan Canon 60D bolehku jadikan contoh ikutan. Falsafah seperti “If it does not break, don’t fix it” adalah falsafah lapuk yang perlu aku kaji semula. Biasanya, untuk mendapat faedah maksima dari peralatan mekanikal, penyelengaraan berkala adalah antara kaedah terbaik dan bukannya diperbaiki setelah ia rosak.

Keadaan kehidupan dan nilai-nilai yang dipegang oleh Harley’s Owner Group (HOG) juga bukan semua boleh diguna pakai oleh warga syarikat ini. Pegaulan bebas, arak dan dadah kerap menjadi agenda mereka. Tiga perkara ini amat jelas bertentangan dengan nilai-nilai asas kehidupan kita.

Begitu juga dengan Canon 60D. Merakam gambar peristiwa, gambar keindahan alam dan gambar keluarga memberi banyak faedah kepada kita, tetapi merakam gambar-gambar eksotik dan seksi untuk dipertontonkan ke khalayak umum adalah diluar batasan kita. Gambar-gambar seperti ini boleh menjatuhkan maruah dan membawa fitnah kepada pemilik dan masyarakat keseluruhannya.

Pendek kata, walaupun banyak perkara-perkara yang boleh kita ambil sebagai contoh dan panduan, banyak juga perkara-perkara yang perlu kita jauhkan kerana tidak bersesuaian dengan nilai-nilai hidup kita sebagai warga korperat yang berteraskan Islam. Aku perlu pastikan, hanya niliai-nilai yang sesuai sahaja akan diadaptasi. Aku tidak ingin mencipta sejarah hitam untuk syarikat ini.

Kita, di syarikat ini, perlu mencontohi nilai-nilai yang baik dari “Harley Davidson”, “Mini Cooper” dan “Canon 60D” . Pada masa yang sama, kita perlu menolak nilai-nilai negatif yang boleh mencemari perkembangan dan kemajuan syarikat ini. Yang lebih penting, kita juga perlu menjunjung  nilai-nilai murni yang telah kita tetapkan. Syarikat ini, perlu menjadi sebuah organisasi yang mampu membela pekerja-pekerjanya, meyediakan sumber pendapatan untuk mereka sekeluarga dan membuka peluang untuk pembangunan kareer mereka.

Jika semua itu berjaya disediakan oleh syarikat ini, aku yakin, eset paling utama disyarikat ini akan terus jadi miliknya, tahun demi tahun!

Aku mengurut-urut dagu. Selepas itu, kupicit-picit pula dahiku. Itu hanya isu eset nombor satu syarikat. Masih ada isu-isu kewangan, pembangunan perniagaan, hubungan korperat dan lain-lain lagi yang perluku fikirkan.

Wow, banyaknya tugas-tugas yang perlu disempurnakan oleh seorang CEO!

Ku cubit kembali pipiku. Mujur, tiada rasa sakit………………………………




Thursday, April 14, 2011

Penempatan semula

Aku tidak pasti samada 'penempatan semula' merupakan istilah yang sesuai. Yang pastinya, aku akan bertukar lokasi bekerja.

Aku yakin, bagi mereka yang bekerja dengan sebuah syarikat swasta, ini adalah perkara biasa. Kita akan diarahkan untuk berpindah lokasi kerja seperti yang diperlukan oleh syarikat.

Secara peribadi, aku tiada masalah dengan keadaan ini. Walaupun ia melibatkan kejutan dalam jadual harian aku, tetapi akau rasa ianya sesuatu yang perlu unutk memastikan kesinambungan keluargaku, unutk memastikan anak-anakku yang sedang membesar akan masih boleh terus mendapat hak-hak yang sepatutnya mereka perolehi sebagai persediaan untuk menghadapi masa depan mereka kelak.

Pada diriku sendiri, aku juga merasakan ianya sesuatu yang perlu. Sudah terlalu lama aku melakukan kerja-kerja yang sama hinggakan hala tuju kerierku telah menjadi lapuk dan kusam. Aku berharap dengan peralihan atau pertukaran lokasi kerja ini akan mendedahkan aku dengan pengalaman-pengalaman baru yang boleh membantu keupayaan aku terus berjuang menjalani hidup yang penuh pancaroba ini.

Friday, April 8, 2011

Don't judge a book by it's cover

Don't judge a book by it's cover

Satu masa dahulu, aku pernah menyanjung frasa Inggeris ini. Aku rasakan ianya sesuatu yang melambangkan kedewasaan dalam berfikir. Ia juga melambangkan satu idea yang menyatakan kepada kita, bahawa kita perlu menilai sesuatu dengan teliti dan mendalam sebelum membuat penilaian terhadapnya.

Tetapi, kebelakangan ini aku mula cuak dengan pendirian aku sendiri. Frasa tersebut mula aku lihat dari beberapa sudut yang berbeza. Hasilnya, aku mula beralih fikiran.

Dalam bahasa ibunda aku rasa bolehlah di terjemahkan menjadi ; Jangan dinilai sebuah buku dari kulitnya.

Frasa ini boleh dikiaskan dengan berbagai keadaan. Cuma, walaupun ia telah menjadi bahan yang agak meluas pengunaannya, aku dapat rasakan ada beberapa isu yang menyebabkan ia seolah-olah telah ketinggalan zaman. Ia tidak lagi susuai dengan dunia serba canggih dan serba moden ini.

Sebelum zaman kelahiran fungsi dan tugas secara professional, dalam kontak asalnya, frasa ini bolehlah diterima pakai, tetapai selepas pengkhususan bidang dijalankan, ia terasa seperti sesuatu yang melambangkan pengabaian beberapa aspek sesebuah karya.

Pada masa dahulu, seorang penulis mungkin bukan seorang artis atau jurureka. Jadi selepas menulis sesebuah buku, lalu diterbitkan untuk bacaan umum tanpa menyediakan rekabentuk kulit yang sewajarnya. Maka terjadilah sebuah buku yang tidak cantik kulitnya tetapi oleh kerana ditulis oleh seorang penulis yang baik, kandungan buku itu lebih menonjol dan dikatakan ianya sebuah buku yang baik. Rekaan kulitnya yang diabaikan tidak diambil kira sebagai sebahagian dari kualiti yang akan mempengaruhi minat pembacanya.

Tetapi, pada zaman sekarang keadaan jauh berbeza. Kita ada jurureka professional yang boleh mencipta kulit buku yang amat berkualiti yang membayangkan isi kandungannya dengan ciri-ciri artistik yang menarik. Ini boleh memikat orang-orang yang melihatnya dan seterusnya menimbulkan minat untuk membacanya. Oleh kerana tugas mereka cipta kulit buku kini boleh diperolehi dengan amat mudah, sesebuah buku yang tidak mempunyai kulit yang menarik adalah merupakan satu karya yang tidak lengkap atau lebih mudah kita katakan; ianya sebuah karya yang kurang bermutu.

Jadi, kita kini perlu katakan; Jika kulitnya tak indah, apakah mungkin isinya....................

Cubalah kita bayangkan. Kita melihat sebuah kereta dengan keadaan warnanya yang kusam, panel sisinya yang kemek, bumpernya yang remuk, cerminnya yang kelabu dan tayarnya yang pancit. Apakah kemungkinannya kita akan dapati di dalamnya sepasang tempat duduk berkilat beralaskan kulit kelas pertama dengan lantai berpermaidani gebu dan sistem stereo keliling dan hawa dingin yang nyaman dengan pewangi yang harum semerbak.................

Monday, March 7, 2011

Masa


Hari ini 08/03/2011. Wah, sudah hampir ke pertengahan bulan ketiga bagi tahun 2011 ini. Begitu cepat masa berlalu hinggakan aku terlupa, azamku untuk tahun ini masih belum mula dilaksanakan lagi.

Aku terkenang zaman kana-kanak dahulu. Ketika itu tiada komputer, tiada internet dan tiada telefon bimbit. Yang ada cuma wayang gambar Jabatan Penerangan, television hitam putih dan radio saluran kebangsaan. Tetapi, masa itu merakamkan terlalu banyak kenangan manis yang masih terpahat dalam ingatan.

Masa itu, dari pagi hingga ke petang terasa begitu lama. Di sekolah, waktu rehat aku boleh bermain sepuas-puasnya. Sedangkan sekarang ini, waktu rehat selama sejam di pejabat terasa terlau singkat. Belum sempat pun berehat, tugasan-tugasan pejabat telah memanggil semula.

Selepas balik dari sekolah dan makan tengahari, adalah masa yang aku nanti-nantikan. Aku berkunjung ke halaman-halaman rumah kawan dan jiran. Kami bermain sepuas-puasnya sehingga lewat petang. Jarak masa ini aku rasakan teramat lama tetapi sesaat pun tidak membosankan. Menjelang senja barulah aku bergegas pulang untuk mengaji dan bersembahyang.

Rutin-rutin seperti itu aku lalui hari demi hari. Cuma, aktivitinya silih berganti. Kadang-kadang ke halaman rumah jiran, kadang-kadang ke sawah bendang, kadang-kadang ke hutan belukar sekitar kampung dan kadang-kadang kami mengayuh basikal menuju ke pekan menghirup cendol dan ais kepal.

Seronoknya bukan kepalang. Jiwa anak kampung itu masih aku rasakan walau hanya dalam ingatan. Teringin rasanaya untuk seperti itu lagi, tetapi kenangan hanyalah mampu tinggal kenangan.

Masa telah berlalu dan sekarang, permainan dahulu tiada lagi berlagu. Kita perlu permainan baru yang akan menggandingkan kita dengan isu-isu moden dan laju. Jangan bawa permainan lami itu dengan melulu kerana aku bakal ditinggalkan terkebil-kebil sayu, di belakang………….

Monday, February 28, 2011

Dilema Kewangan!

Sejak kebelakangan ini, kenaikan harga barangan semakin menjadi-jadi. Kalau dulu, belanja makan tengahari adalah sekitar RM4 hingga RM5 sahaja, tetapi sekarang keadaan telah jauh berubah. Paling tidak pun RM7 hingga RM10 akan lesap setiap kali perut meraung minta diisi.

Walaupun jarak masa hanya sekitar setahun dua, tetapi kadar perbelanjaan melambung naik hampir dua kali ganda. Jadual perbelanjaan yang telah sedia ketat, menjadi bertambah berat.

Bukan bab makan sahaja yang menunjukkan kenaikan yang tinggi, isu perubatan juga turut sama. Kalau dulunya jika ke klinik kerana batuk dan selsema, kos perbelanjaan perubatan hanyalah sekitar RM15 hingga RM20 sahaja, tetapi sekarang ini, telah meningkat hingga sekitar RM60 hingga RM80 jadinya.

Perubahan mendadak ini membuatkan aku menjadi risau. Kalau dalam masa setahun dua kos perbelanjaan harian naik berganda-ganda, bagaimana pula kos perbelanjaan sepuluh tahun atau dua puloh tahun akan datang? Pada kadar kenaikan sekarang, kos perbelanjaan untuk sara hidup akan datang mungkin lima hingga sepuluh kali ganda lebih tinggi.

Aku agak ketinggalan dalam bab perancangan kewangan. Aku telah sekian lama, dapat sebakul, sebakullah aku habiskan. Ini membuatkan ekonomi aku berada dalam keadaan yang tidak begitu memberangsangkan walaupun sudah bekerja pulohan tahun. Apa yang aku ada sekarang ini tidak akan mampu menyara hidup aku dan keluarga lebih dari sebulan dua andainya aku kehilangan pekerjaan.

Bagaimana pula bekalan masa tua? Aku bukan pekerja kerajaan. Aku tiada pencen. Selepas umur persaraan, aku akan terpaksa menyara diri sendiri, dengan kudrat sendiri. Sampai bila? Selagi nyawa dikandung badan, ini mebuatkan jiwaku semakin kacau………….