Monday, March 7, 2011

Masa


Hari ini 08/03/2011. Wah, sudah hampir ke pertengahan bulan ketiga bagi tahun 2011 ini. Begitu cepat masa berlalu hinggakan aku terlupa, azamku untuk tahun ini masih belum mula dilaksanakan lagi.

Aku terkenang zaman kana-kanak dahulu. Ketika itu tiada komputer, tiada internet dan tiada telefon bimbit. Yang ada cuma wayang gambar Jabatan Penerangan, television hitam putih dan radio saluran kebangsaan. Tetapi, masa itu merakamkan terlalu banyak kenangan manis yang masih terpahat dalam ingatan.

Masa itu, dari pagi hingga ke petang terasa begitu lama. Di sekolah, waktu rehat aku boleh bermain sepuas-puasnya. Sedangkan sekarang ini, waktu rehat selama sejam di pejabat terasa terlau singkat. Belum sempat pun berehat, tugasan-tugasan pejabat telah memanggil semula.

Selepas balik dari sekolah dan makan tengahari, adalah masa yang aku nanti-nantikan. Aku berkunjung ke halaman-halaman rumah kawan dan jiran. Kami bermain sepuas-puasnya sehingga lewat petang. Jarak masa ini aku rasakan teramat lama tetapi sesaat pun tidak membosankan. Menjelang senja barulah aku bergegas pulang untuk mengaji dan bersembahyang.

Rutin-rutin seperti itu aku lalui hari demi hari. Cuma, aktivitinya silih berganti. Kadang-kadang ke halaman rumah jiran, kadang-kadang ke sawah bendang, kadang-kadang ke hutan belukar sekitar kampung dan kadang-kadang kami mengayuh basikal menuju ke pekan menghirup cendol dan ais kepal.

Seronoknya bukan kepalang. Jiwa anak kampung itu masih aku rasakan walau hanya dalam ingatan. Teringin rasanaya untuk seperti itu lagi, tetapi kenangan hanyalah mampu tinggal kenangan.

Masa telah berlalu dan sekarang, permainan dahulu tiada lagi berlagu. Kita perlu permainan baru yang akan menggandingkan kita dengan isu-isu moden dan laju. Jangan bawa permainan lami itu dengan melulu kerana aku bakal ditinggalkan terkebil-kebil sayu, di belakang………….

No comments: