Tuesday, February 8, 2011

Cicak tokek

Malaysiaku ini memang kaya berdiri. Di dadanya ada berbagai hasil dan di perutnya ada berbagai khazanah. Rakyat Malaysia tidak pernah kontang dengan sumber-sumber yang silih berganti.

Suatu masa dahulu, bijih timah menjadi rebutan. Ia digelar emas hitam dan kerananya ramai yang telah menjadi hartawan dan jutawan.

Suatu masa dahulu, rakyat heboh dengan jarum emas. Katanya, tumbuhan sebesar jarum ini berharga ribuan ringgit bagi setiap kilogram. Berebut-rebut mereka mencarinya, mengharap akan meraih laba yang ganas-ganas.

Suatu masa dahulu, tiba-tiba menjadi tajuk utama, tongkat ali yang banyak terdapat di hutan. Katanya ianya lebih baik dari Viagra. Ramai yang meredah belantara menggalas keluar pokok khazanah bumi ini dan dijadikan bahan campuran kepada makanan dan minuman atas nama kesihatan.

Suatu masa dahulu, lahir pula labu peram dan Pak Man Telo. Berduyun-duyun rakyat Malaysia melabur. Ada yang gah dan ada pula yang tersungkur.

Sekarang, semua itu telah menjadi kenangan. Tetapi mutiara nusantara ini tidak pernah sunyi. Ia masih menghamburkan buah dan tuah tanpa segan.

Baru-baru ini, harga kelapa sawit melambung naik pula. Ramailah peneroka-peneroka Felda yang tersenyum lebar. Kereta lama masih di bawah rumah tetapi kereta-kereta baru menjalar di bawah porch yang berhadapan dengan pintu utama rumah mereka.

Kini, kenaikan harga getah pula yang di canang. Orang-orang kampong pula yang bersorak gembira. Dulu meredah hutan dengan motosikal Honda, menorah getah yang hanya cukup buat menyara keluarga dengan ikan kering dan beras melukut. Sekarang mereka masih setia bersama Honda tetapi yang pacuan 4 roda dan penyaman udara, meluru ke pohon-pohon getah yang kini boleh menyuapkan mereka dengan beras siam dan daging batang pinang.

Dan yang terkini, cicak tokek pula menjadi bual bicara. Khabarnya, yang seberat sekilogram berjuta ringgit harganya. Habis diredah rumah-rumah usang yang kononnya jadi sarang. Katanya lagi, makhluk Allah ini ubat penyakit aids dan HIV yang memang terkenal amat bahaya.

Kaya, kaya, kaya Malaysiaku ini. Tidak pernah henti Dia memberi nikmat kepada kita semua di bumi bertuah ini. Dari bijih timah hinggalah ke getah dan cicak tokek yang bakal menjadi ubat aids dan HIV.

Namun begitu, janganlah kita lupa diri. Apa yang datang tidak mustahil akan pergi. Apa yang telah kita nikmati, sudahkah kita syukuri?

Saturday, February 5, 2011

Kerap kali…

Kerap kali, bila tiba waktu untuk bangun pagi, kita merasa begitu tertekan. Berbagai-bagai persoalan terpacul dari benak kita. Kenapa perlu bangun? Badan akau masih penat, aku perlu tidur lagi unutk merehatkan badan, semalam aku bekerja sehingga lewat malam. Aku perlu cuti!

Kita rasa kita kekurangan waktu rehat. Kita sangka kita bekerja terlalu keras. Kita perlu berkelubung lagi di bawah selimut itu!

Adakah kita benar? Adakah kita betul-betul telah bekerja keras? Adakah kita betul-betul kekurangan waktu rehat? Kita perlu cuti lagikah?

Kita perlu kaji. Adakah pendapatan kita mencukupi? Adakah keluarga kita telah memperoleh segala keperluan mereka? Sudahkan kita melakukan yang terbaik untuk semua yang di bawah tanggungan kita? Atau sudahkan kita menyahut seruan Nya?

Jawapannya, mungkin berbagai. Bila kita fikirkan, mungkin keadaan akan menjadi semakin kusut. Kita mungkin lebih tertekan, kita mungkin akan hilang punca dan sesat arah.

Aku suka dengan kenyataan Tuan Guru Nik Aziz. Dia kata, hidup ini mana ada cuti!

Mampukah aku? Tapi semenjak dari itu, memang aku sudah merubah pendirian ku terhadap isu cuti. Aku mula membuka mata dan memerhati kelilingku. Dan semuanya memang jelas.

Orang-orang alim, banyak masanya menuntut ilmu, kemudian dia mengajarkannya kepada orang lain, dan bila tiba waktunya mengadapNya dengan penuh khusyuk.

Orang-orang professional, banyak masanya di pejabat, di tapak binaan, di bilik-bilik mesyuarat, membina kerjaya dan memupuk keyakinan.

Orang-orang kaya, melabur sana, melabur sini, berjumpa kenalan membincangkan strategi untuk mengaut keuntungan dan menambahkan eset mereka.

Orang-orang berjaya tidak pernah membazirkan masa, tidak pernah melepaskan peluang, tidak melengkar di bawah selimut sepanjang hari.

Kita bagaimana? Jangan harapkan belas kasihan orang lain sahaja. Tiada yang bulat akan datang menggolek, tiada yang pipih akan datang melayang. Dan jangan berlengkar di bawah selimut terlau lama!

Tuesday, February 1, 2011

Ceria

Seronok aku pagi ini. Kesuraman sejak beberapa hari kebelangan ini, seolah-olah terubat. Itulah tanda kasih dari Nya. Selepas beberapa hari keadaan agak muram, diturunkan Nya keceriaan agar kita bersyukur.

Sebaik sahaja aku menjejakkan kaki ke luar rumah, aku dapat merasakan kelainan berbanding beberapa hari yang lalu. Langit biru dengan beberapa tompokan awan tipis bagai kapas yang terapung di langit. Matahari pula memancar ceria, dengan cahaya yang keemasan, menambahkan suasana segar di awal pagi. Angin bulan Februari bertiup sepoi, membuatkan aku seakan tersenyum sendiri.

Bila aku menjejaki lebuhraya, akau makin pasti dengan keceriaan hari ini. Pemandangan ku lempar jauh berbatu-batu. Bukit bukau yang dulunya kelam, hari ini nampak jelas dengan pepohon kayu dan batu-batan yang terjojol keluar dari permukaannya. Dada lebuhraya yang berlendir beberap hari lalu, pagi ini kering dan menjanjikan perjalan yang lebih selesa dan selamat.

Aku teruskan perjalanan dengan bersemangat. Virago tua ku berdentum-dentum dengan girang. Aku seolah-olah dapat merasakan yang dia pun turut ceria dengan suasana pagi ini.

Tanpa ku sedar, aku sudah menghampiri pintu kecil bertanda C5. Pintu ini telah bertahun-tahun menyambut kedatanganku dengan setia setiap pagi. Dia tidak pernah peduli walau halilintar memanah bumi.

Perjalanan aku berakhir di sini pagi ini. Alhamdulillah.

Sunday, January 30, 2011

Hujan

Mereka terasa terancam dengannya kerana jalan raya akan jam, mereka akan kesejukan, pakaian mereka juga boleh basah. Aktiviti harian mereka juga akan terganggu. Mereka sukar untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah. Mereka juga terpaksa berlari-lari anak dari tempat meletak kereta menuju ke pejabat-pejabat mereka.

Jemuran yang hampir kering yang mereka tinggalkan mungkin akan basah kembali. Rumah mereka turut akan menjadi mangsa dek tempias andainya mereka terlupa menutup pintu dan tingkap. Mereka akan sakit-sakit kepala apabila terkena hujan dalam perjalanan mereka mengejar keperluan dunia.

Ada pula yang melupakan niat mereka untuk berjemaah di surau dan masjid. Lebih dahsyat lagi, ada yang tidak menghiraukan panggilan azan untuk berjemaah solat Jumaat.

Semua itu membuatkan mereka berungut-sungut dan membebel-bebel. Semua itu juga membuatkan mereka menjadi marah dan menyumpah-nyumpah. Malah, ada yang mempertikaikan Nya dan melaung-laung mengatakan ianya suatu yang tidak adil dan hanya menyusahkan mereka.

Benarkah? Tidakkah hujan itu satu rahmat dari Nya? Tidakkan hujan itu menghidupkan muka bumi ini? Tidakkah hujan itu yang menjadi sumber minuman yang mereka teguk saban hari? Tidakkah hujan itu yang telah menghindarkan mereka dari kekontangan? Tidakkah hujan itu yang meredakan kepanasan dek panahan matahari? Tidakkah hujan itu yang melahirkan pelangi yang berwarna-warni, yang amat indah?
Renungkanlah, apa erti hujan itu?

......................... sebelum kita merungut-rungut, membebel-bebel, marah-marah.........

Sunday, January 23, 2011

Keindahan perjalanan

Pagi ini terasa segar. Walaupun matahari sudah meninggi, kedinginannya masih terasa. Deretan kereta dan lori tidak kuhiraukan. Sudah sekian lama keindahan ini tidak ku lalui. Aku terus memacu dengan rasa penuh kegirangan.

Inilah perjalanan yang telah ku tempuh selama lebih sedekad. Perjalanan yang telah menjadi sebati dengan rutin harianku. Mungkin ada yang tertanya-tanya, tidakkah aku merasa jemu melalui jalan yang sama, hari demi hari, untuk kesekian lamanya.

Pada sekilas pandangan, memanglah sama. Tetapi, andai dipandang dengan tajam dan teliti, sudah pasti akan bertemu berbagai yang baru setiap hari.

Di perjalanan ini, aku temui berbagai ragam, berbagai rupa. Tiap satunya merupakan sumber ilham untuk aku melalui kehidupan di dunia penuh cabaran ini. Tiap satunya juga adalah merupakan terjemahan akan tanda-tanda kebesaranNya. Bukalah pintu hati, nescaya perjalanan-perjalanan ini akan menghidangkan segumpal pengetahuan yang amat mendalam.

Simpang kiri berpintu kecil, sampai dengan pantas, Alhamdulillah. Pagi ini aku melaluinya, petang nanti aku akan lalu lagi, Insyallah.

Friday, January 14, 2011

Ikhlas

Ikhlas

Aku memberi lampu isyarat ke kiri sambil memperlahankan motosikalku. Sebaik sahaja terhenti, aku menupangnya dengan kemas dan membuka topi keledar. Tidak jauh dari aku, kelihatan seorang lelaki  terkial-kial di sebelah sebuah kereta mewah.

Dia sedang cuba membuka sekeru roda kereta yang telah pancit tayarnya tetapi tidak berjaya. Bajunya dibasahi peluh dan dia kelihatan lelah. Aku menawarkan diri untuk mencuba. Setelah berhempas pulas, barulah kelima-lima sekeru itu dapat dibuka.

Bila aku bangun, aku dapati lelaki itu sedang berdiri berhampiran pengadang jalan. Di mengesat-ngesat peluhnya dengan sehelai sapu tangan. Dia kelihatan amat tertekan. Bila aku menghampirinya, dia menudingkan jari ke arah bonet kereta. Walaupun tanpa sebarang kata-kata, aku faham maksudnya.

Aku terpaksa mengeluarkan beberapa set kayu golf dan beberapa pasang kasut sebelum dapat membuka penutup ruang tayar simpanan. Aku mengeluarkan tayar simpanan tersebut dan terus memasangkannya dengan kemas. Selepas itu, tayar yang pancit itu ku simpan pula diruang tayar simpanan. Aku letakkan semula barangan yang telah dikeluarkan tadi dengan kemas seperti sebelum ia dialihkan.

Aku menoleh kebelakang untuk meberitahu lelaki tersebut yang semuanya telah selesai aku lakukan. Tetapi lelaki itu tidak kelihatan. Rupa-rupanya dia sudah pun berada di dalam kereta. Enjin kereta itu dihidupkan dan lelaki berkereta mewah itu terus berlalu. Dari pecutan tangkas yang dilakukannya, aku dapat merasakan dia perlu bergegas ke suatu destinasi, mungkin untuk menghadiri satu temujanji.

Aku menyarongkan jeket dan memakai helmet. Aku berasa puas. Sedikit sebanyak bantuan ikhlasku mungkin telah dapat membantu lelaki tersebut. Aku berdoa agar apa jua yang dikejarnya, akan diperolehi dengan mudah.

Thursday, January 13, 2011

Politik…..

Politik…..

Kadang-kadang aku naik hairan. Bila politik terngiang dalam fikiranku, aku jadi keliru. Politik seolah-olah membawa satu kepincangan. Bila kerenung-renungkan semula, walau sedikit kabur, dapat juga aku buat beberapa andaian.

Dalam sedar atau tidak, bagiku politik itu ialah seorang yang berpakaian kemas, berwatak peramah dan fasih berbicara. Dia datang ke muka rakyat dengan seorang pembantu dan seorang pemandu. Keretanya kereta mewah dan bercermin gelap. Bila berbicara dia menghulurkan habuan kecil dan terus berjanji-janji.

Bila berjauhan dari muka rakyat, dia makan di hotel-hotel mewah dan kemudian dia pulang ke rumahnya yang terletak di vila di atas bukit. Rumahnya tersergam indah dan dikelilingi oleh pagar yang tinggi dengan system penggera yang canggih.

Pada masa-masa tertentu, ramai tetamu akan datang ke rumahnya. Menjalar kereta-kereta yang besar dan cantik di halaman rumah dan kedengaran muzik-muzik asing yang riuh-rendah. Lampu neon berkerlipan sehingga larut malam sebelum kesunyian menyelubungi menjelang pagi.

Sesekali, mukanya terpapar di dada akhbar harian. Bebagai rancangan ditabur dalam wawancara bersamanya. Dan di akbar itulah tempat seolah-olah dia menghulur tangan untuk meneraju rakyat. Sedangkan halaman pengundi-pengundi hanya dijejaknya apabila sudah menerima pencalonan unutk pilihan raya.

Kadang-kadang aku terfikir juga, betulkah andaian ku ini? Oleh kerana tiada ahli politik yang menafikannya, aku terus leka dengan andaianku………………..