Monday, February 28, 2011

Dilema Kewangan!

Sejak kebelakangan ini, kenaikan harga barangan semakin menjadi-jadi. Kalau dulu, belanja makan tengahari adalah sekitar RM4 hingga RM5 sahaja, tetapi sekarang keadaan telah jauh berubah. Paling tidak pun RM7 hingga RM10 akan lesap setiap kali perut meraung minta diisi.

Walaupun jarak masa hanya sekitar setahun dua, tetapi kadar perbelanjaan melambung naik hampir dua kali ganda. Jadual perbelanjaan yang telah sedia ketat, menjadi bertambah berat.

Bukan bab makan sahaja yang menunjukkan kenaikan yang tinggi, isu perubatan juga turut sama. Kalau dulunya jika ke klinik kerana batuk dan selsema, kos perbelanjaan perubatan hanyalah sekitar RM15 hingga RM20 sahaja, tetapi sekarang ini, telah meningkat hingga sekitar RM60 hingga RM80 jadinya.

Perubahan mendadak ini membuatkan aku menjadi risau. Kalau dalam masa setahun dua kos perbelanjaan harian naik berganda-ganda, bagaimana pula kos perbelanjaan sepuluh tahun atau dua puloh tahun akan datang? Pada kadar kenaikan sekarang, kos perbelanjaan untuk sara hidup akan datang mungkin lima hingga sepuluh kali ganda lebih tinggi.

Aku agak ketinggalan dalam bab perancangan kewangan. Aku telah sekian lama, dapat sebakul, sebakullah aku habiskan. Ini membuatkan ekonomi aku berada dalam keadaan yang tidak begitu memberangsangkan walaupun sudah bekerja pulohan tahun. Apa yang aku ada sekarang ini tidak akan mampu menyara hidup aku dan keluarga lebih dari sebulan dua andainya aku kehilangan pekerjaan.

Bagaimana pula bekalan masa tua? Aku bukan pekerja kerajaan. Aku tiada pencen. Selepas umur persaraan, aku akan terpaksa menyara diri sendiri, dengan kudrat sendiri. Sampai bila? Selagi nyawa dikandung badan, ini mebuatkan jiwaku semakin kacau………….

Tuesday, February 8, 2011

Cicak tokek

Malaysiaku ini memang kaya berdiri. Di dadanya ada berbagai hasil dan di perutnya ada berbagai khazanah. Rakyat Malaysia tidak pernah kontang dengan sumber-sumber yang silih berganti.

Suatu masa dahulu, bijih timah menjadi rebutan. Ia digelar emas hitam dan kerananya ramai yang telah menjadi hartawan dan jutawan.

Suatu masa dahulu, rakyat heboh dengan jarum emas. Katanya, tumbuhan sebesar jarum ini berharga ribuan ringgit bagi setiap kilogram. Berebut-rebut mereka mencarinya, mengharap akan meraih laba yang ganas-ganas.

Suatu masa dahulu, tiba-tiba menjadi tajuk utama, tongkat ali yang banyak terdapat di hutan. Katanya ianya lebih baik dari Viagra. Ramai yang meredah belantara menggalas keluar pokok khazanah bumi ini dan dijadikan bahan campuran kepada makanan dan minuman atas nama kesihatan.

Suatu masa dahulu, lahir pula labu peram dan Pak Man Telo. Berduyun-duyun rakyat Malaysia melabur. Ada yang gah dan ada pula yang tersungkur.

Sekarang, semua itu telah menjadi kenangan. Tetapi mutiara nusantara ini tidak pernah sunyi. Ia masih menghamburkan buah dan tuah tanpa segan.

Baru-baru ini, harga kelapa sawit melambung naik pula. Ramailah peneroka-peneroka Felda yang tersenyum lebar. Kereta lama masih di bawah rumah tetapi kereta-kereta baru menjalar di bawah porch yang berhadapan dengan pintu utama rumah mereka.

Kini, kenaikan harga getah pula yang di canang. Orang-orang kampong pula yang bersorak gembira. Dulu meredah hutan dengan motosikal Honda, menorah getah yang hanya cukup buat menyara keluarga dengan ikan kering dan beras melukut. Sekarang mereka masih setia bersama Honda tetapi yang pacuan 4 roda dan penyaman udara, meluru ke pohon-pohon getah yang kini boleh menyuapkan mereka dengan beras siam dan daging batang pinang.

Dan yang terkini, cicak tokek pula menjadi bual bicara. Khabarnya, yang seberat sekilogram berjuta ringgit harganya. Habis diredah rumah-rumah usang yang kononnya jadi sarang. Katanya lagi, makhluk Allah ini ubat penyakit aids dan HIV yang memang terkenal amat bahaya.

Kaya, kaya, kaya Malaysiaku ini. Tidak pernah henti Dia memberi nikmat kepada kita semua di bumi bertuah ini. Dari bijih timah hinggalah ke getah dan cicak tokek yang bakal menjadi ubat aids dan HIV.

Namun begitu, janganlah kita lupa diri. Apa yang datang tidak mustahil akan pergi. Apa yang telah kita nikmati, sudahkah kita syukuri?

Saturday, February 5, 2011

Kerap kali…

Kerap kali, bila tiba waktu untuk bangun pagi, kita merasa begitu tertekan. Berbagai-bagai persoalan terpacul dari benak kita. Kenapa perlu bangun? Badan akau masih penat, aku perlu tidur lagi unutk merehatkan badan, semalam aku bekerja sehingga lewat malam. Aku perlu cuti!

Kita rasa kita kekurangan waktu rehat. Kita sangka kita bekerja terlalu keras. Kita perlu berkelubung lagi di bawah selimut itu!

Adakah kita benar? Adakah kita betul-betul telah bekerja keras? Adakah kita betul-betul kekurangan waktu rehat? Kita perlu cuti lagikah?

Kita perlu kaji. Adakah pendapatan kita mencukupi? Adakah keluarga kita telah memperoleh segala keperluan mereka? Sudahkan kita melakukan yang terbaik untuk semua yang di bawah tanggungan kita? Atau sudahkan kita menyahut seruan Nya?

Jawapannya, mungkin berbagai. Bila kita fikirkan, mungkin keadaan akan menjadi semakin kusut. Kita mungkin lebih tertekan, kita mungkin akan hilang punca dan sesat arah.

Aku suka dengan kenyataan Tuan Guru Nik Aziz. Dia kata, hidup ini mana ada cuti!

Mampukah aku? Tapi semenjak dari itu, memang aku sudah merubah pendirian ku terhadap isu cuti. Aku mula membuka mata dan memerhati kelilingku. Dan semuanya memang jelas.

Orang-orang alim, banyak masanya menuntut ilmu, kemudian dia mengajarkannya kepada orang lain, dan bila tiba waktunya mengadapNya dengan penuh khusyuk.

Orang-orang professional, banyak masanya di pejabat, di tapak binaan, di bilik-bilik mesyuarat, membina kerjaya dan memupuk keyakinan.

Orang-orang kaya, melabur sana, melabur sini, berjumpa kenalan membincangkan strategi untuk mengaut keuntungan dan menambahkan eset mereka.

Orang-orang berjaya tidak pernah membazirkan masa, tidak pernah melepaskan peluang, tidak melengkar di bawah selimut sepanjang hari.

Kita bagaimana? Jangan harapkan belas kasihan orang lain sahaja. Tiada yang bulat akan datang menggolek, tiada yang pipih akan datang melayang. Dan jangan berlengkar di bawah selimut terlau lama!

Tuesday, February 1, 2011

Ceria

Seronok aku pagi ini. Kesuraman sejak beberapa hari kebelangan ini, seolah-olah terubat. Itulah tanda kasih dari Nya. Selepas beberapa hari keadaan agak muram, diturunkan Nya keceriaan agar kita bersyukur.

Sebaik sahaja aku menjejakkan kaki ke luar rumah, aku dapat merasakan kelainan berbanding beberapa hari yang lalu. Langit biru dengan beberapa tompokan awan tipis bagai kapas yang terapung di langit. Matahari pula memancar ceria, dengan cahaya yang keemasan, menambahkan suasana segar di awal pagi. Angin bulan Februari bertiup sepoi, membuatkan aku seakan tersenyum sendiri.

Bila aku menjejaki lebuhraya, akau makin pasti dengan keceriaan hari ini. Pemandangan ku lempar jauh berbatu-batu. Bukit bukau yang dulunya kelam, hari ini nampak jelas dengan pepohon kayu dan batu-batan yang terjojol keluar dari permukaannya. Dada lebuhraya yang berlendir beberap hari lalu, pagi ini kering dan menjanjikan perjalan yang lebih selesa dan selamat.

Aku teruskan perjalanan dengan bersemangat. Virago tua ku berdentum-dentum dengan girang. Aku seolah-olah dapat merasakan yang dia pun turut ceria dengan suasana pagi ini.

Tanpa ku sedar, aku sudah menghampiri pintu kecil bertanda C5. Pintu ini telah bertahun-tahun menyambut kedatanganku dengan setia setiap pagi. Dia tidak pernah peduli walau halilintar memanah bumi.

Perjalanan aku berakhir di sini pagi ini. Alhamdulillah.