Wednesday, July 17, 2013

Sunyi

 Sunyi
Ada kalanya, aku bersama kawan-kawan. Kami bercerita, kami berbincang dan kami bertukar-tukar pendapat. Kami bergelak ketawa mendengar coloteh dan kisah-kisah kehidupan kami.

Ada kalanya, aku bersama rakan sepejabat. Kami bekerja, merancang dan menyelesaikan permasalahan untuk kesinambungan syarikat kami. Kami lakukannya dengan ceria kerana kami tahu, suasana ceria adalah pemangkin prestasi kami dan ubat terhadap tekanan tanggungjawab yang kami pikul.

Ada kalanya, aku bersama keluarga. Bersama isteri dan anak-anak. Kami bersama-sama bantu-membantu melakukan kerja-kerja yang menjadi tanggungjawab kami sekeluarga. Kemudian kami duduk bersama, menjamah sarapan, makan tengahari dan makan malam.

Namun, aku sunyi. Jiwaku rasa tiada berteman. Aku seolah-olah seorang sahaja mengharungi hidup ini. Kesunyian ini, kadang-kadang menekan sehingga terasa sesak dadaku.

Adakah itu hakikat kehidupan? Atau adakah itu satu kepincangan dalam hidupku? Andainya tiada terjawab persoalan ini, maka bertambah sunyilah aku!