Thursday, May 24, 2012

PUJANGGA BUAT GURU

(Buat isteri saya dan guru-guru di seluruh negara!)

Guru dengarkan pujangga
Kami anak-anak muda
Telah kau didik telah kau bina
Jadi anak emas bangsa

Bila kami tiba diwaktu pagi
Kau sambut dengan pekerti
Kami kau didik kami kau bela
Agar berjiwa besar

Bila kami mengeloh di tengahari
Kau terus datang hampiri
Katamu sabarlah aduhai insan
Dunia memang satu cabaran

Guru dengarkan pujangga
Kami anak-anak muda
Telah kau didik telah kau bina
Jadi anak emas bangsa

Bila matahari labuhkan diri
Kau masih teguh berdiri
Memberi tunjuk memberi ajar
Agar kami terus sedar

Di penghujung malam disudut kelam
Kau mohon pada Ilahi
Kesejahteraan buat kami
Tanpa sedikit rasa iri

Guru dengarkan pujangga
Kami anak-anak muda
Telah kau didik telah kau bina
Jadi anak emas bangsa

Wahai guru kami, kami berdoa
Agar kau diberkatiNya
Tiada emas pembalas jasa
Buat hiasan dunia

Wahai guru kami, kami berbangga
Apa yang telah kau kurnia
Teruskanlah usaha berjasa
Kerana engkaulah emas permata

Guru dengarkan pujangga
Kami anak-anak muda
Telah kau didik telah kau bina
Jadi anak emas bangsa

Saturday, February 25, 2012

If I were the CEO of this company……


If I were the CEO of this company………………….

Aku terdiam, sambil tanganku mencubit pipi. Bukan apa, aku kena pastikan ianya bukan hanya sebuah mimpi. Keadaan dan kedudukanku sebelum ini tidak memberi banyak peluang untuk aku memanjat tangga koperat hingga menjadi seorang CEO.

Walau bagaimanapun, aku bersyukur ke hadrat Illahi. Ini rezeki kurniaanNya, aku tidak akan mempertikaikannya kerana aku tidak mahu tergolong kedalam golongan yang kufur nikmat. Aku juga akur, akan tanggungjawab besar yang datang bersama jawatan sebesar ini.

Sebagai langkah pertama, aku perlu membuat tindakan ini dengan segera. Lupuskan kereta BMW 5 series itu dan keluarkan 3 Purchase Order baru; satu untuk motosikal Harley Davidson Dyna Glide, satu untuk kereta Mini Cooper S dan satu lagi untuk kamera Canon 60D.
Aku teringat sebuah iklan yang berbunyi ‘A company car must not be a CAR……..’. Aku yakin, Harley Davidson adalah pilihan yang amat tepat. Aku perlu tonjolkan identiti yang tersendiri, idea yang tersendiri, juga gaya yang tersendiri. Sejarah lama syarikat ini yang tidak membawa manafaat perlu aku ketepikan. Aku perlu mencipta sejarah baru, sejarah aku sendiri, sejarah yang lebih baik. Tetapi, aku perlu lakukan semua itu dengan sepenuh hati, penuh minat dan penuh kegembiraan.

Namun aku faham, ada kalanya kereta adalah lebih sesuai. Manalah tahu, kalau-kalau hari hujan, nanti basah pula dokumen-dokumen yang perluku bawa bersama. Oleh kerana CEO syarikat hanya seorang sahaja, tiada sebarang keperluan untuk kereta yang terlalu besar. Aku memilih Mini Cooper S. Walaupun ia sebuah kereta yang agak sederhana, ia dilengkapi dengan enjin yang amat berkuasa yang boleh meninggalkan BMW 5 series tinggal jauh dibelakang, dilampu-lampu isyarat di ibu negara.

Hidup aku bukan untuk bekerja sahaja. Disamping menunggang Harley Davidson dan memandu Mini Cooper S, aku perlu mengasah minda dan berkarya. Ada perkara-perkara tertentu, perlu diabadikan dalam galeri syarikat ini untuk rujukan dan panduan. Dari tingkap pejabat ku, ada matahari terbenam,  ada deretan kenderaan dan bangunan, ada hamparan saujana mata memandang dan ada sang rembulan untukku rakam. Anak-anakku yang sedang membesar, isteriku yang semakin matang, si Flubber dan Bella, semuanya perluku abadikan. Aku akur, mindaku tak pernah luput mengekori perkembangan persekitaran tetapi bila sudah dijamah usia, aku mungkin lupa. Aku perlu si Canon 60D itu. Ia merkam peristiwa, ia membekukan perjalan masa.

Wah, banyak betul perancangan yang aku buat untuk diriku sendiri! Tidak lama lagi, aku akan menjadi CEO syarikat yang menunggang Harley Davidson, memandu Mini Cooper S serta berkarya bersama Canon 60D. Aku dapat rasakan yang aku akan dapat memikul tanggungjawab ini dengan sepenuh hati dan dengan jiwa yang ceria. Tetapi, cukupkah sekadar mengecap kepuasan untuk diriku sediri? Bolehkah aku memberikan impak yang sama kepada seluruh warga syarikat ini? Adakah aku perlu memberikan  “Harley Davidson”,  “Mini Cooper S” dan “Canon 60D” kepada mereka juga?

Sudah semestinya! Aku rasa, mereka, seperti aku juga. Spesis yang sama, maka keperluan asasnya juga adalah sama. Aku kita tidak akan menafikannya.

Aku rasa, untuk mencapai matlamat syarikat ini, aku perlu ciptakan “Harley Davidson” untuk mereka. Harley Davidson adalah adalah jenama sebuah motosikal. Tetapi ia bukanlah sebuah motosikal biasa. Ia telah berjaya menampilkan identitinya yang tersendiri. Pemilik-pemiliknya pula adalah golongan yang mementingkan nilai-nilai sebuah motosikal. Mereka memilikinya dengan rasa bangga dan berbesar hati. Tetapi yang lebih penting, Harley Davidson telah berjaya melakukan tugas asasnya dengan sempurna, iaitu membawa pemilik-pemiliknya ke destinasi-destinasi yang dihajati dengan jaminan, yang ianya tidak akan menimbulkan banyak masalah.

Mini Cooper S pula adalah sebuah kereta yang namanya telah lama meniti dibibir manusia. Kemajuan teknologi telah melahirkannya semula dengan ciri-ciri asal dan ditambah dengan beberapa kemajuan dari sudut persembahan dan reka bentuk. Dalam kesederhanaannya, ia membawa imej yang bersahaja namun jika perlu dia boleh menunjukkan kepantasannya. Pemilik-pemiliknya adalah golongan yang menjadikan nostalgia sebagai salah satu nilai yang perlu mereka kekalkan disamping menerima pembaharuan-pembaharuan untuk mengekalkan daya saing mereka . Mini Cooper S melambangkan kesederhanaan namun sentiasa bersedia untuk mengharungi cabaran.

Canon 60D pula, adalah kamera yang telah dibekalkan dengan ciri-ciri dan teknologi terkini. Ia berupaya merakam imej yang amat detail dan bermutu tinggi. Tetapi ia memerlukan pemilik yang kreativiti untuk menghasilkan imej yang bermutu.Hasil dari kombinasi pemilik dan kamera ini tidak sahaja merupakan sebuah gambar atau imej, tetapi ia sering dikatakan sebagai sebuah karya.  Karya jurugambar sering dikaitkan dengan keupayaan untuk memerhati, mencipta dan melahirkannya. Canon 60D adalah kesinambungan idea dan komposisi yang dicipta dari apa yang kita ada disekeliling kita.

Namun aku sedar, bukan semua nilia-nilai yang berkaitan denga Harley Davidson, Mini Cooper S dan Canon 60D bolehku jadikan contoh ikutan. Falsafah seperti “If it does not break, don’t fix it” adalah falsafah lapuk yang perlu aku kaji semula. Biasanya, untuk mendapat faedah maksima dari peralatan mekanikal, penyelengaraan berkala adalah antara kaedah terbaik dan bukannya diperbaiki setelah ia rosak.

Keadaan kehidupan dan nilai-nilai yang dipegang oleh Harley’s Owner Group (HOG) juga bukan semua boleh diguna pakai oleh warga syarikat ini. Pegaulan bebas, arak dan dadah kerap menjadi agenda mereka. Tiga perkara ini amat jelas bertentangan dengan nilai-nilai asas kehidupan kita.

Begitu juga dengan Canon 60D. Merakam gambar peristiwa, gambar keindahan alam dan gambar keluarga memberi banyak faedah kepada kita, tetapi merakam gambar-gambar eksotik dan seksi untuk dipertontonkan ke khalayak umum adalah diluar batasan kita. Gambar-gambar seperti ini boleh menjatuhkan maruah dan membawa fitnah kepada pemilik dan masyarakat keseluruhannya.

Pendek kata, walaupun banyak perkara-perkara yang boleh kita ambil sebagai contoh dan panduan, banyak juga perkara-perkara yang perlu kita jauhkan kerana tidak bersesuaian dengan nilai-nilai hidup kita sebagai warga korperat yang berteraskan Islam. Aku perlu pastikan, hanya niliai-nilai yang sesuai sahaja akan diadaptasi. Aku tidak ingin mencipta sejarah hitam untuk syarikat ini.

Kita, di syarikat ini, perlu mencontohi nilai-nilai yang baik dari “Harley Davidson”, “Mini Cooper” dan “Canon 60D” . Pada masa yang sama, kita perlu menolak nilai-nilai negatif yang boleh mencemari perkembangan dan kemajuan syarikat ini. Yang lebih penting, kita juga perlu menjunjung  nilai-nilai murni yang telah kita tetapkan. Syarikat ini, perlu menjadi sebuah organisasi yang mampu membela pekerja-pekerjanya, meyediakan sumber pendapatan untuk mereka sekeluarga dan membuka peluang untuk pembangunan kareer mereka.

Jika semua itu berjaya disediakan oleh syarikat ini, aku yakin, eset paling utama disyarikat ini akan terus jadi miliknya, tahun demi tahun!

Aku mengurut-urut dagu. Selepas itu, kupicit-picit pula dahiku. Itu hanya isu eset nombor satu syarikat. Masih ada isu-isu kewangan, pembangunan perniagaan, hubungan korperat dan lain-lain lagi yang perluku fikirkan.

Wow, banyaknya tugas-tugas yang perlu disempurnakan oleh seorang CEO!

Ku cubit kembali pipiku. Mujur, tiada rasa sakit………………………………